BERITA SEMASAPMX

Anwar seru umat Islam kuasai AI tanpa abaikan iman, akhlak, sahsiah

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu, namun pada masa sama tidak mengorbankan nilai iman, akhlak serta sahsiah dalam usaha mengikuti perkembangan teknologi berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan AI tidak seharusnya diambil sepenuhnya daripada pendekatan negara asing, khususnya Barat, sebaliknya perlu disesuaikan dengan nilai dan prinsip yang menjadi pegangan umat Islam.

Katanya, perkara itu turut meliputi penguasaan bidang baharu seperti pengkomputeran kuantum dan pendigitalan.

“Apakah perlu kita kuasai (AI)? Jawab saya, satu kemestian. Umat yang meninggalkan AI sebagai ilmu dan pengetahuan baru akan tercorot.

“Tetapi kefahaman AI kita itu tidak semestinya menciplak, dicedok sepenuhnya dari negara asing, apalagi negara Barat.

“Cabarannya ialah bagaimana kita gunakan ilmu dan teknologi baru ini: Quantum computing, Artificial Intelligence (AI), Digitalization..tetapi berakar kepada iman dan akhlak dan sahsiah kita. Nilai kita mesti kita pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 Tahun 1448H/2026 malam ini.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan supaya prinsip akidah, akhlak dan sahsiah tidak ditinggalkan semata-mata kerana mengejar perubahan serta menguasai ilmu baharu sehingga menyebabkan seseorang tersisih daripada menjadi seorang Muslim yang baik.

“Sebab itu dalam mengejar perubahan ini, kita tidak boleh lari daripada semangat membawa kebaikan dan rahmat,” katanya.

Anwar turut menyeru umat Islam supaya memperlihatkan lebih banyak sikap toleransi dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan tidak bermaksud umat Islam perlu mengorbankan prinsip atau pegangan, sebaliknya terus menjadi contoh dengan menjauhi sikap melampau, rasuah dan penipuan.

“Bagi umat Islam, saya katakan, tunjukkan lebih banyak sikap toleransi dan kasih sayang. Ia tidak bermaksud kita mengorbankan prinsip dan pegangan kita.

“Kita tetap menunaikan solat, melakukan kebaikan, menjauhi sikap melampau, rasuah dan sakau serta menjadi contoh yang baik kepada semua,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak terlalu cepat menghukum sesuatu perkara tanpa berbekalkan ilmu dan kefahaman yang mendalam.

Menurutnya, kefahaman terhadap Islam perlu terus diperkukuh menerusi pengajian yang lebih mendalam, selain tidak mengetepikan khazanah dan tradisi keilmuan Islam yang terbina sejak sekian lama.

“Tanam kefahaman yang lebih mendalam dan jangan izinkan tersebarnya pandangan yang mendorong kepada pantas menghukum tanpa berbekal kepada ilmu yang mendalam,” ujarnya.

Anwar berkata, umat Islam juga tidak seharusnya mengetepikan khazanah keilmuan Islam hanya kerana mahu mengikuti pandangan atau pemikiran baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button