Jaminan pembiayaan RM5 bilion pacu sokongan segera kepada PMKS terjejas
PUTRAJAYA – Kerajaan memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan peruntukan jaminan berjumlah RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebagai langkah segera membantu perniagaan yang terkesan akibat tekanan kos dan ketidaktentuan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu disasarkan kepada sektor kritikal termasuk pembinaan, pertanian dan agromakanan, logistik serta pelancongan yang paling terjejas susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan.
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, skim berkenaan turut ditambah baik dengan liputan jaminan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, selain tempoh jaminan dilanjutkan sehingga 10 tahun bagi memberi ruang perniagaan bernafas dan menstabilkan operasi.
“Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri.
“Ia bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hari ini.
Tambahnya, SJPP akan bekerjasama dengan institusi kewangan bagi memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, termasuk bantuan bayaran balik kepada syarikat yang memerlukan.
Sehingga kini, lebih 50,000 PMKS telah menerima manfaat daripada skim tersebut dengan jumlah jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Langkah itu antara inisiatif kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








