Jawatankuasa bersama MOF-KKM ditubuh tangani kos penjagaan kesihatan swasta
KUALA LUMPUR – Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bersama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu peningkatan kos penjagaan kesihatan yang semakin membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat pada kadar yang mampu milik.
Beliau menegaskan, walaupun kerajaan sedang giat melaksanakan reformasi dan mengukuhkan ketahanan ekonomi negara, cabaran mendesak yang memberi kesan langsung kepada rakyat seperti kos perubatan tidak boleh diabaikan.
“Bagi ramai rakyat Malaysia, penjagaan kesihatan swasta semakin sukar diakses berikutan kadar inflasi kos perubatan yang kian meningkat. Ini bukan sekadar isu ekonomi, tetapi melibatkan kesejahteraan negara secara keseluruhan,” katanya.
Baca juga : Reformasi struktur satu keperluan untuk negara – PM Anwar
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.
Anwar berkata, langkah ini bukan sekadar perubahan kecil, tetapi satu perubahan besar ke arah sistem penjagaan kesihatan swasta yang lebih menekankan keberkesanan rawatan, ketelusan dan keadilan.
“Antara pembaharuan utama yang akan diperkenalkan termasuk penetapan harga yang lebih jelas, pengukuhan sistem kesihatan digital serta peluasan akses melalui pilihan mampu milik seperti insurans perubatan asas universal,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa sesi khas oleh KKM, MOF dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan diadakan esok untuk memperincikan inisiatif ini.
Perdana Menteri menegaskan, penjagaan kesihatan akan dijadikan salah satu tonggak utama ketahanan negara, berpaksikan dasar yang berhemah, keprihatinan terhadap rakyat dan keperluan semasa.
“Saya memberi jaminan bahawa saya sendiri akan memantau pelaksanaan reformasi ini sehingga berjaya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








