200,000 rakyat disasar sertai Hari Cuci Malaysia di 469 lokasi
GOMBAK – Seramai 200,000 rakyat Malaysia disasarkan menyertai Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 yang digerakkan serentak di 469 lokasi seluruh negara hari ini, termasuk sasaran mengumpul 28,000 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh satu hari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penganjuran HCM 2026 bukan sekadar aktiviti gotong-royong sehari, sebaliknya platform membentuk perubahan sikap masyarakat terhadap kebersihan, pengurusan sisa dan amalan kitar semula.
“Malaysia yang bersih tidak boleh dibina oleh kerajaan sahaja. Ia memerlukan rasa tanggungjawab setiap rakyat. HCM membawa mesej bahawa menjaga kebersihan bukan tugas pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita bersama.
“Pada masa yang sama, kita mahu masyarakat melihat bahan buangan daripada perspektif yang berbeza. Bahan yang masih mempunyai nilai perlu diasingkan dan dikitar semula, bukan terus berakhir di tapak pelupusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan HCM 2026 Peringkat Kebangsaan di Pasar Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.
Baca juga : Hari Cuci Malaysia 2025 catat dua rekod baharu MBOR
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Penganjuran kali ketiga itu menyokong sambutan World Cleanup Day yang diraikan pada setiap 20 September di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia dalam membudayakan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
HCM 2026 turut memperluas penglibatan generasi muda menerusi kerjasama dengan 10,000 sekolah di seluruh negara.
Penyertaan murid diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kebersihan, kesukarelawanan, kitar semula dan kelestarian alam sekitar.
Selain gotong-royong mega, HCM 2026 turut memberi penekanan kepada pengumpulan bahan kitar semula dalam tempoh satu hari, selain aktiviti senamrobik, sesi walkabout, pameran kebersihan dan pelbagai aktiviti komuniti di seluruh negara.
Usaha itu selari dengan aspirasi KPKT untuk memperkukuh ekonomi kitaran, termasuk menggalakkan pengasingan sisa di punca, meningkatkan amalan guna semula dan kitar semula serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Dalam masa sama, HCM 2026 menyasarkan penciptaan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu penyertaan seramai 200,000 peserta di seluruh negara serta pengumpulan sebanyak 28,000 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh satu hari.
Nga berkata, penglibatan besar-besaran rakyat menerusi HCM 2026 membuktikan agenda kebersihan dan kelestarian negara boleh digerakkan dengan lebih berkesan melalui pendekatan whole-of-nation yang menyatukan kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan generasi muda.
“Kita mahu semangat hari ini diteruskan selepas Hari Cuci Malaysia. Matlamat akhirnya ialah menjadikan amalan menjaga kebersihan, mengurangkan sisa, mengasingkan bahan yang masih bernilai dan mengitar semula sebagai budaya harian setiap rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








