Hari Cuci Malaysia 2025 catat dua rekod baharu MBOR
SEREMBAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakar sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena program Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 yang berlangsung di Port Dickson, semalam.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dua rekod tersebut ialah penyertaan gotong-royong terbesar dengan penglibatan seramai 100,817 peserta di seluruh negara serta kutipan minyak masak terpakai terbanyak dalam tempoh sehari berjumlah 27,679.31 kilogram dengan nilai jualan mencecah RM79,684.56.
“Pencapaian ini memecah rekod HCM tahun lalu yang merekodkan penyertaan seramai 58,007 peserta.
“Tahun ini kita turut berjaya mencatat sejarah baharu apabila minyak masak terpakai dikumpul dari 10 negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sijil pengiktirafan MBOR tersebut disampaikan wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Datuk Mohd. Zamri Mat Zain pada majlis kemuncak program berkenaan yang turut bersempena sambutan World Cleanup Day.
Kor Ming berkata, program HCM 2025 juga menyaksikan sebanyak 6,462 metrik tan sisa pepejal berjaya dikutip di seluruh negara termasuk plastik, sisa taman, kayu, kertas, tekstil dan pelbagai bahan buangan lain.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencatat rekod sejarah, malah menyerlahkan semangat perpaduan rakyat. Ia mencerminkan komitmen masyarakat bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan,” katanya lagi.
Beliau berkata, kejayaan mencatat dua rekod MBOR ini membuktikan iltizam seluruh rakyat Malaysia dalam memupuk budaya kebersihan dan kelestarian alam sekitar seiring aspirasi negara menuju masa depan yang bersih serta mampan.
Program itu turut menghimpunkan ribuan sukarelawan dari pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, komuniti setempat, syarikat pembersihan, pemaju perumahan, persatuan industri, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








