Lelaki Perancis serang ibu, anak warga Israel di Koh Phangan
BANGKOK – Seorang lelaki warga Perancis yang didakwa menyerang seorang wanita warga Israel dan anak perempuannya di Koh Phangan, dibebaskan dengan ikat jamin 100,000 baht (kira-kira RM13,000).
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa dirawat di sebuah hospital di Koh Samui selepas menjalani pembedahan akibat luka dipukul.
Menurut laporan media, mangsa, 62, yang dikenali sebagai Ynet dan anak perempuannya berusia 23 tahun berada di Koh Phangan untuk bercuti dan berkunjung ke kawasan air terjun pada Selasa lalu.
Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa didatangi suspek yang bertanya mengenai kewarganegaraan mereka dan selepas mengetahui mereka dari Israel, lelaki itu dikatakan menyentuh isu konflik di Gaza.
Menurut mangsa, perbualan itu pada mulanya berakhir secara aman sebelum suspek tiba-tiba datang menghampiri mereka dan menyerang.
“Dia mula memukul saya dengan ganas. Anak saya cuba melindungi saya tetapi turut dipukul. Kami cuba melawannya dan saya dipukul di kepala sehingga pada satu ketika saya dipercayai pengsan,” katanya.
Anak mangsa kemudian meminta bantuan dua wanita warga Perancis yang berada berhampiran, menyebabkan suspek melarikan diri dengan motosikal. Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital sebelum dipindahkan ke Koh Samui.
Wanita itu berkata, anaknya turut menjalani dua pembedahan dan kini sudah dibenarkan keluar hospital, manakala beliau masih menerima rawatan.
Dalam pada itu, wanita berkenaan turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa membebaskan suspek yang dikatakan mungkin mengundang bahaya kepada warga Israel di pulau berkenaan.
“Kami tidak tahu siapa yang membayar ikat jamin. Saya bertanya kepada anggota polis dan dia berkata tidak tahu.
“Jika dia dibebaskan, penting untuk memberi amaran kepada orang ramai kerana dia boleh membahayakan keselamatan awam, terutama warga Israel dan Yahudi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah taman haiwan di Koh Samui dilaporkan enggan membenarkan sebuah keluarga Israel masuk selepas mengetahui kewarganegaraan mereka.
Video kejadian di Samui Exotic Park itu turut menunjukkan seorang pekerja menanduk ketua keluarga itu di hadapan anak perempuannya.
Pemilik taman berkenaan kemudian memaparkan bendera Israel dengan tulisan ‘dilarang masuk’ berhampiran sasaran menembak.
Pihak taman sebelum ini mendakwa menerima ugutan daripada seorang pelancong Israel selepas memaparkan tanda ‘Free Palestine’, sebelum premis itu dibanjiri ulasan satu bintang di internet dipercayai oleh penyokong Israel.
Duta Israel ke Thailand, Alona Fisher-Kamm, pada Khamis pula mengadakan pertemuan dengan Gabenor Surat Thani bagi membincangkan isu pelancongan, perniagaan dan keselamatan awam membabitkan komuniti Israel yang semakin berkembang di wilayah selatan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


