BERITA SEMASA

DAP tuntut tindakan segera terhadap reformasi institusi

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk memastikan beberapa reformasi institusi utama diluluskan, termasuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, keputusan parti itu untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan perlu disusuli dengan tindakan konkrit bagi merealisasikan agenda reformasi yang menjadi teras perjuangan parti.

Beliau berkata, kerajaan perlu menetapkan garis masa yang jelas dan tegas bagi memastikan reformasi institusi berkenaan tidak terus tertangguh.

“Saya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan segera untuk merealisasikan reformasi ini. Mesti ada garis masa yang jelas dan tidak berbelah bahagi bagi melaksanakan reformasi institusi asas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gobind, yang juga Menteri Digital berkata, persiapan bagi reformasi berkenaan sudah dilakukan, termasuk RUU berkaitan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Beliau turut menggesa pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 dimuktamadkan serta dibentangkan di Parlimen tanpa kelewatan.

Menurutnya, kenyataan menteri berhubung pindaan SOSMA telah dibentangkan di Parlimen Februari tahun lalu, manakala pindaan Akta Perhimpunan Aman pula sudah dibincangkan sejak beberapa bulan lalu.

Gobind turut mencadangkan supaya satu persidangan khas Parlimen atau hari persidangan tambahan Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan RUU berkenaan dibahaskan dan diluluskan.

Katanya, langkah itu boleh mengambil contoh persidangan khas Parlimen yang diadakan baru-baru ini bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji.

“Kerajaan telah bertindak pantas dengan mengadakan persidangan khas Parlimen bagi membahaskan laporan RCI mengenai Tabung Haji.

“Pendekatan sama wajar diambil untuk RUU reformasi penting ini, atau hari persidangan tambahan perlu ditambah kepada persidangan Dewan Rakyat akan datang yang dikhususkan untuk perkara berkenaan,” katanya.

Gobind kemuudiannya berkata, DAP kekal komited untuk memastikan reformasi itu dilaksanakan tanpa kelewatan lagi.

“Kita seharusnya berusaha memastikan RUU ini diluluskan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Semalam, perwakilan DAP mengundi untuk kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen, dengan 88 peratus menyokong keputusan berkenaan.

Seramai 1,857 perwakilan mengundi untuk kekal dalam kerajaan, manakala 242 memilih untuk keluar.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Kongres Kebangsaan DAP, Chua Kee Chin, ketika Kongres Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Daripada 2,230 perwakilan yang hadir, sebanyak 2,106 kertas undi dikeluarkan dan dikembalikan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,099 undi disahkankan, manakala tujuh kertas undi dikategorikan sebagai rosak.

Keputusan itu meletakkan pelaksanaan agenda reformasi institusi sebagai antara perkara utama yang perlu diberi perhatian DAP selepas parti berkenaan memutuskan untuk meneruskan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button