POLITIK

Jangan jadikan PRN Johor medan hidupkan semula budaya politik skandal – Sheikh Umar Ali

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya menjadi titik permulaan untuk menghidupkan semula budaya politik yang pernah mengheret negara ke dalam skandal terbesar dalam sejarah Malaysia, kata Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Beliau berkata, rakyat perlu menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk mempertahankan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, sekali gus memastikan perjuangan menentang rasuah serta salah guna kuasa diteruskan.

“Bagi saya, PRN Johor bukan sekadar pilihan raya negeri.

“Lebih penting, kita perlu sekat PRN Johor menjadi titik permulaan untuk ‘beri nyawa’ semula kepada budaya politik yang pernah mengheret negara ke dalam skandal terbesar dalam sejarah Malaysia.

“Biarlah Johor terus menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat memilih integriti, akauntabiliti, tadbir urus yang baik dan masa depan negara yang lebih bersih. Malaysia tidak boleh sekali lagi mengulangi episod hitam yang pernah mencalar nama baiknya di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga : Jangan lupa skandal 1MDB, jadi pengajaran kepada pengundi – Gobind

Mengulas kenyataan Datin Seri Rosmah Mansor yang menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan PRN Johor, Sheikh Umar berkata beliau menghormati pendirian tersebut.

Bagaimanapun, katanya, nama Rosmah kembali menjadi perhatian selepas timbul laporan Sarawak Report minggu lalu yang mengaitkannya dengan isu aset di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, New York Post turut melaporkan mengenai sebuah rumah agam di New Jersey yang dipindahkan kepada Daniyar Kessikbayev dengan nilai nominal AS$10 berdasarkan dokumen pindah milik.

Katanya, laporan tersebut sekali lagi mencetuskan persoalan dan perbincangan dalam kalangan rakyat.

“Benar, Datin Seri Rosmah sebelum ini sudah menafikan pemilikan aset berkenaan dan penafian itu wajar dihormati.

“Namun susulan laporan yang diterbitkan pada 4 dan 5 Julai lalu, penjelasan lanjut wajar diberikan supaya segala persoalan yang timbul dapat dijawab dan tidak terus menjadi bahan spekulasi,” katanya.

Menurut beliau, isu yang dibangkitkan bukan sekadar berkaitan aset, sebaliknya turut mencetuskan pelbagai tafsiran awam mengenai usaha mendapatkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sheikh Umar berkata, situasi itu mengingatkan kepada episod ketika isu 1MDB mula didedahkan apabila pelbagai laporan daripada portal dan akhbar luar negara, termasuk Sarawak Report dan The Edge, pada awalnya dipandang sinis serta dianggap sebagai fitnah.

Katanya, keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 membuka ruang kepada proses siasatan dan kehakiman dijalankan mengikut saluran undang-undang sehingga membawa kepada sabitan terhadap Najib dalam kes SRC International yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut merujuk kepada sabitan terbaru Najib dalam satu lagi kes berkaitan dana 1MDB yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, sambil mengakui bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai hak menggunakan semua saluran perundangan yang diperuntukkan undang-undang.

Dalam pada itu, Sheikh Umar berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa UMNO tidak akan berubah sekiranya terus diberikan kemenangan besar.

Beliau berkata, kenyataan Nazifuddin Najib yang menyuarakan harapan agar bapanya dibebaskan turut menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan rakyat.

“Bagi saya, perjuangan menentang rasuah, salah guna kuasa dan skandal terbesar dalam sejarah Malaysia masih belum berakhir.

“Apa yang telah dimulakan oleh rakyat pada 2018 bukan sekadar menukar kerajaan. Ia adalah perjuangan untuk memastikan tiada sesiapa mengatasi kedaulatan undang-undang walau setinggi mana kedudukannya.

“Jangan biarkan segala pengorbanan rakyat selama ini menjadi sia-sia atau terhenti sekerat jalan,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button