POLITIK

PRN Johor: AMANAH letak calon di 19 kerusi

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (AMANAH) berhasrat merampas semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya sebelum ini termasuk Parit Yaani dan Kota Iskandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, DUN tersebut antara 19 kerusi akan ditandingi Amanah, selain Simpang Jeram iaitu kerusi tunggal dimenangi parti itu pada PRN 2022, lapor BERNAMA.

“AMANAH turut akan meletakkan calon di Permas, Kemelah, Tenang, Serom, Maharani dan Bukit Pasir,” katanya.

Aminolhuda yang pernah memenangi kerusi DUN Parit Yaani atas tiket PAS pada 2013 dan PH-Amanah pada 2018 berkata, walaupun beberapa kawasan tersebut diketahui sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), AMANAH bertekad memberikan saingan sengit pada PRN kali ini.

Beliau menambah, parti itu turut menaruh keyakinan terhadap peluang di kawasan pinggir bandar.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi PH Johor berkata, gabungan itu telah membuat keputusan menyerahkan kerusi DUN Endau, Pulai Sebatang dan Senggarang untuk ditandingi PKR.

Berhubung kerusi DUN Puteri Wangsa dan Larkin yang dikaitkan dengan rundingan sesama parti komponen PH, Aminolhuda berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenai pengagihan dua kerusi tersebut.

Pada PRN Johor 2022, kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi MUDA menerusi Puteri Amira Aisya Abd Aziz dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru manakala DUN Larkin dimenangi BN menerusi Mohd Hairi Mad Shah dengan majoriti 6,178 undi.

Pada PRN kali ini, DAP akan bertanding di 17 kerusi DUN manakala PKR di 20 DUN.

PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai dengan penamaan calon pada 27 Jun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button