Malaysia, Bahrain terus perkukuh hubungan dua hala
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Bahrain akan terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena keberangkatan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa ke Malaysia bagi menghadiri Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menghargai dukungan Bahrain dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang membolehkan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat kali pertama sejak 2017.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran perlumbaan itu turut didukung kerjasama erat antara Bahrain International Circuit, SIC dan Kementerian Belia dan Sukan sejak Julai lalu.
“Persiapan perlumbaan ini berjaya disempurnakan dalam tempoh yang singkat hasil kerjasama erat semua pihak,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, pertemuan dengan Putera Salman turut dimanfaatkan bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Bahrain, termasuk mempercepatkan rundingan pegawai kanan bagi menggerakkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi.
Katanya, langkah itu penting bagi memacu agenda hubungan dua hala secara lebih strategik, selain memperluas bidang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Seiring aspirasi Ekonomi MADANI dan Wawasan Ekonomi Bahrain 2030, kami bertekad memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan, kewangan Islam, teknologi, pelancongan, keterjaminan makanan, kecerdasan buatan, keselamatan siber dan pembuatan pintar,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan dari Bahrain, manakala syarikat tempatan dilihat berpeluang memanfaatkan Bahrain sebagai pintu masuk ke pasaran negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Anwar turut berharap delegasi Bahrain, pasukan dan pelumba serta pengunjung yang hadir di SIC dapat menikmati acara berkenaan dalam keadaan lancar dan sempurna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








