Rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat selamat dibawa pulang
PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan konflik di rantau itu, termasuk jemaah yang menunaikan umrah secara kendiri, telah selamat dibawa pulang ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, bagi rakyat Malaysia yang menetap di negara terjejas, tiada operasi membawa pulang dilaksanakan buat masa ini kerana ruang udara telah dibuka dan mereka boleh pulang sendiri.
Menurut beliau, tugas berhubung perkara tersebut kini diambil alih oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar bagi tujuan penyelarasan.
“Setakat hari ini, kita telah membawa semua rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Asia Barat termasuk mereka yang mengerjakan umrah secara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran merupakan satu peperangan tidak diisytiharkan yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia.
Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap negara berdaulat itu seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Parlimen.
Ditanya sama ada terdapat kapal dagang dari Malaysia yang disekat di Selat Hormuz, Mohamad memaklumkan tiada perkembangan baharu memandangkan laluan berkenaan masih ditutup.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








