BERITA SEMASADALAM NEGERI

Belanjawan 2026 : KPKM terima RM6.87 bilion perkukuh sektor agromakanan negara

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang disifatkan sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh daya tahan serta kemampanan sektor agromakanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan berjumlah RM6.87 bilion untuk tahun 2026 diyakini akan mempercepatkan capaian matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).

Katanya peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya itu akan disalurkan melalui pelbagai inisiatif demi memastikan aspek keterjaminan makanan, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh rantaian bekalan negara bagi jangka panjang.

“Melalui dasar berfokuskan pemodenan serta pembangunan sektor agromakanan, kerajaan yakin langkah ini akan meningkatkan produktiviti dan menambah baik kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan RM470 bilion bagi menyokong pertumbuhan negara meskipun dalam cabaran ekonomi global.

Mohamad berkata, kejayaan penyasaran semula subsidi di bawah KPKM telah berjaya menjimatkan perbelanjaan negara, termasuk melalui pengapungan harga ayam, telur dan penyusunan semula subsidi diesel yang membolehkan hasil penjimatan disalurkan kembali kepada rakyat.

Pihak pengurusan KPKM semasa pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Antara langkah utama yang diumumkan adalah peruntukan RM300 juta bagi menjalinkan kerjasama projek pertanian antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memanfaatkan penggunaan tanah terbiar manakala sebanyak RM55 juta disalurkan untuk menyokong pengusaha buah-buahan tempatan, termasuk tanaman nanas di Sarawak.

Selain itu, KPKM turut menumpukan kepada pengukuhan industri padi negara dengan pelaksanaan Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun yang melibatkan:

-Sistem Pengairan Tersier Fasa 1 di MADA Kedah dan Perlis yang dijangka siap menjelang 2030.

-Projek Pemindahan Air Jeniang dengan kos RM1.28 bilion yang akan bermula pada 2026.

KPKM juga akan melaksanakan inisiatif RM2.62 bilion melalui pelbagai subsidi dan insentif kepada pesawah dan subsidi harga padi, baja dan benih.

Mohamad berkata, bermula tahun depan, kadar insentif pembajakan dan racun akan dinaikkan masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim, di samping insentif baharu RM50 sehektar bagi penanaman padi.

Tambah beliau secara keseluruhannya, setiap pesawah dijangka menerima RM4,300 sehektar semusim pada tahun 2026, berbanding RM3,790 sebelum ini.

“Bagi menyokong sektor keusahawanan tani, kerajaan turut memperuntukkan RM1.1 bilion melalui Agrobank bagi tujuan pembiayaan automasi dan mekanisasi projek pertanian,” katanya.

Inisiatif-inisiatif utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah Belanjawan 2026 : Belanjawan Rakyat

Sebanyak RM20 juta pula disediakan di bawah Program Agropreneur NextGen KPKM untuk membantu generasi muda menceburi sektor pertanian.

Kerajaan juga memperkenalkan galakan cukai automasi pertanian bagi menggalakkan penggunaan sistem moden dalam penternakan, akuakultur dan perikanan laut.

“Bagi golongan nelayan, pelbagai insentif turut diumumkan termasuk RM160 juta bagi insentif hasil tangkapan, Elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan, Diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter, RM10 juta untuk baik pulih atau membina semula 380 rumah nelayan dan RM20 juta bagi menaik taraf vesel serta menggantikan pukat tunda tidak lestari,” ujar beliau.

Mohamad berkata, KPKM yakin pelaksanaan inisiatif di bawah Belanjawan 2026: Belanjawan Rakyat akan memastikan sektor agromakanan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.

“KPKM komited melaksanakan setiap dasar secara cekap dan berintegriti agar manfaat belanjawan ini benar-benar dirasai golongan sasar,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button