23 rakyat Malaysia dibebaskan, kini dalam perjalanan ke Istanbul – Anwar
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel telah dibebaskan dan kini dalam perjalanan ke Istanbul melalui pesawat khas dari Turkiye.
Menurut beliau, pembebasan itu hasil rundingan diplomatik panjang dengan beberapa negara sahabat termasuk Turkiye, Qatar, Jordan, Amerika Syarikat serta beberapa pihak lain.
“Alhamdulillah, sebentar tadi saya dimaklumkan atas persetujuan Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan melalui Ketua Pengarah Keselamatan beliau, Dr Ibrahim Khalil, kerajaan Turkiye membantu menguruskan pembebasan rakyat Malaysia.
“Rundingan ini turut melibatkan Kementerian Luar, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan saya sendiri yang berhubung dengan Amir Qatar, Perdana Menteri Qatar serta Presiden Turkiye,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Anwar berkata, kesemua mereka kini sedang dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel sebelum diterbangkan ke Istanbul.
“Selepas tiba di Istanbul, mereka akan menginap sementara satu hingga satu setengah hari bagi pemeriksaan kesihatan serta rawatan trauma sebelum pulang ke tanah air, insyaAllah esok malam atau lusa,” katanya lago.
Beliau turut mendedahkan bahawa pada awalnya tiga rakyat Malaysia keberatan menandatangani arahan pengusiran Israel, namun setelah berbincang, mereka akhirnya bersetuju untuk pulang bersama kumpulan lain.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan rundingan pembebasan ini bukan hanya melibatkan keselamatan rakyat Malaysia tetapi juga membabitkan kerjasama dengan negara lain yang turut serta dalam misi Global Sumud Flotilla.
“Walaupun berdepan kesukaran menembusi sekatan Israel, rombongan flotila ini berjaya menyampaikan mesej besar kepada dunia bahawa rejim Zionis bukan sekadar menentang kumpulan bersenjata, tetapi turut menyekat bantuan kemanusiaan.
“Ini hanya dilakukan oleh sebuah negara yang zalim dan tidak bertamadun. Negara bertamadun sekurang-kurangnya memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan,” katanya lagi.
Mengenai pelan damai yang digagaskan Presiden Donald Trump, Perdana Menteri menjelaskan Malaysia hanya memberikan dukungan terbatas.
“Kita mahu melihat jaminan jelas mengenai kebebasan dan kemerdekaan Palestin. Keputusan Malaysia akan sentiasa seiring dengan pendirian negara-negara Arab, Islam serta Hamas sendiri.
“Buat masa ini, tumpuan penuh kerajaan adalah memastikan rakyat Malaysia pulang dengan selamat,” katanya lagi.
Anwar turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terus berdoa agar perjalanan kumpulan itu dari Israel ke Istanbul dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur berjalan lancar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








