Kerajaan tidak teruskan cukai barangan bernilai tinggi
KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (High Value Goods Tax – HVGT), sebaliknya memasukkan prinsip cukai tersebut ke dalam semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, barangan mewah dan barangan pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar lima hingga 10 peratus, selaras dengan pendekatan progresif dan bersasar yang digariskan dalam reformasi fiskal negara.
“Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan HVGT tetapi prinsipnya diterapkan dalam semakan SST. Barang mewah dan pilihan dikenakan cukai antara lima hingga 10 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli (BN) yang meminta penjelasan berhubung unjuran hasil daripada pelaksanaan pelbagai langkah fiskal baharu termasuk HVGT, cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT), cukai barang bernilai rendah (LVG), peluasan SST dan rasionalisasi subsidi.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan peluasan SST dijangka menjana RM5 bilion hasil kepada negara pada tahun ini dan dijangka meningkat kepada RM10 bilion menjelang 2026.
Bagi pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah (LVG) pula, ia telah mencatat kutipan sebanyak RM500 juta bagi tahun 2024, manakala cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital yang mula diperkenalkan sejak 2020 menjana pendapatan sebanyak RM1.6 bilion pada tahun sama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan bahawa pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) yang diperkenalkan pada Mac 2024 dijangka menyumbang hasil tahunan sekitar RM800 juta.
Untuk rekod, HVGT pada asalnya diumumkan dalam Belanjawan 2024 dengan jangkaan tarikh pelaksanaan pada 1 Mei 2024 namun pada Mac lalu kerajaan memaklumkan bahawa rundingan dengan pihak berkepentingan masih diteruskan bagi memuktamadkan butiran pelaksanaan cukai tersebut.
Penangguhan itu katanya adalah bagi memberi ruang kepada kerajaan memperhalusi dasar serta perundangan berkaitan, sekali gus memastikan pelaksanaan lebih teratur, cekap dan selari dengan amalan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








