Pemandu e-Hailing direman tiga hari, disyaki pukul bekas isteri berhampiran balai polis
KAJANG – Seorang pemandu e-hailing direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes memukul bekas isterinya di kawasan parkir awam berhampiran Balai Polis Bandar Baru Bangi yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Menurut beliau, suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan pada jam 6.20 petang Isnin selepas polis menerima laporan berhubung insiden tersebut susulan penularan rakaman video di media sosial.
“Suspek direman selama tiga hari dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Terdahulu, rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipukul oleh seorang lelaki di kawasan parkir awam berhampiran balai polis itu tular di platform Threads sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian serta melengkapkan proses perundangan terhadap suspek.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







