Majlis Perundingan Gig bakal ditubuh, bincang isu bidding e-hailing – KESUMA
PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Gig yang bakal ditubuhkan akan mengetengahkan isu berkenaan ‘bidding’ dalam kalangan pemandu e-hailing sebagai agenda awal bagi memastikan kepentingan pemandu, platform dan pengguna kekal seimbang.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), selaras dengan Bahagian VI Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan sebaik sahaja perundangan ini dikuatkuasakan kelak.
Majlis tersebut adalah platform tripartit yang membabitkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak.
Katanya, ia berfungsi menasihati serta mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai, serta perkara berkaitan kebajikan dan kepentingan pekerja gig.
“Majlis Perundingan Gig juga akan menjadi platform dialog dan rundingan berterusan berkaitan dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig, termasuk usaha memastikan pekerja gig memperoleh pendapatan yang lebih stabil, adil dan mampan.
“KESUMA berpandangan isu bidding dalam kalangan pemandu e-hailing adalah antara perkara awal yang akan dibincangkan di bawah majlis ini bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pemandu, platform dan pengguna,” kata KESUMA dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk laporan media tempatan berkait isu penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar atau bidding yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig kepada Kementerian Pengangkutan.
Sementara itu, KESUMA menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dalam menangani isu ini secara menyeluruh, demi menjaga kebajikan pekerja gig dan kelestarian ekosistem ekonomi platform di negara ini.
“Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan September lalu dan kini sedang dalam proses pewartaan dengan RUU ini dicadang untuk dikuatkuasakan pada tahun 2026,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








