BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

KESUMA perkukuh perlindungan sosial melalui MoU dengan Belgium

BRUSSELS – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited memperkukuh sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan negara menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO), semalam.

Majlis pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr Jean Marc Vandenbergh, disaksikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

CAPTION-Menteri-Sumber-Manusia-Steven-Sim-sedang-berdiskusi-bersama-Ketua-Pegawai-Eksekutif-NEO-Dr.-Jean-Marc-Vandenbergh-jpg.avif
Menteri Sumber-Manusia Steven Sim sedang berdiskusi bersama Ketua Pegawai Eksekutif NEO Dr.Jean Marc Vandenbergh

Turut hadir, Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak serta Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Gayathri Vadivel.

Steven berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua pihak membuka ruang baharu kepada Malaysia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pekerjaan serta perlindungan sosial.

Diskusi-dua-negara-antara-Belgium-dan-Malaysia-untuk-memperkukuh-sistem-perlindungan-sosial-dan-perkhidmatan-pekerjaan.jpg
Diskusi dua negara antara Belgium dan Malaysia untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan

“Kolaborasi ini menandakan kesungguhan KESUMA untuk mengadaptasi amalan terbaik dari peringkat global, sekali gus memperkukuh keupayaan negara menangani cabaran pasaran kerja yang semakin kompleks.

“Jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial di Malaysia masih dalam fasa pembangunan dan banyak ruang boleh ditambah baik terutama dalam aspek insurans pekerjaan, penguatkuasaan serta liputan melibatkan sektor formal dan tidak formal,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Brussels semalam.

Menurut Steven, menerusi kerjasama itu, PERKESO juga berpeluang meneroka pendekatan digital serta strategi pembangunan NEO selain mendalami usaha membanteras penipuan rentas sempadan yang kini menjadi isu global.

“Belgium memiliki sistem perlindungan sosial yang kukuh dengan faedah pengangguran dan program latihan semula yang berkesan, malah terkenal dengan latihan vokasional dan kepakaran dalam bidang teknologi tinggi serta inovasi.

“Gabungan kepakaran ini boleh dimanfaatkan Malaysia untuk memperkukuh dasar pekerjaan serta jaminan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya lagi.

Sementara itu, PERKESO yang merupakan agensi di bawah KESUMA menyediakan perlindungan sosial kepada pekerja sektor swasta, penjawat awam, individu bekerja sendiri dan suri rumah serta tanggungan mereka daripada pelbagai risiko termasuk kemalangan, hilang upaya, penyakit, kematian dan kehilangan pekerjaan.

PERKESO beroperasi melalui 54 pejabat, lima pusat pemulihan dan 294 pusat sehenti MYFutureJobs di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button