SPRM Selangor, Jabatan Mufti bincang kerjasama strategik
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor meneruskan usaha memperluas jaringan kerjasama strategik melalui kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Selangor, hari ini.
Kunjungan diketuai oleh Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli bersama Timbalan Pengarah (Operasi), Khairul Izwan Karim itu disambut oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.
Pertemuan berlangsung dalam suasana penuh muhibah dengan kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu semasa yang menyentuh masyarakat.
Antara perkara dibincangkan termasuk pengurusan zakat, tadbir urus dana awam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pengurusan kewangan termasuk aset digital daripada perspektif syariah.
Mohd Azwan berkata, perbincangan turut memberi penekanan terhadap kepentingan amanah, integriti dan ketelusan dalam pengurusan sumber serta tanggungjawab yang melibatkan kepentingan masyarakat.
Pendekatan pendidikan dan penghayatan nilai murni dalam Islam turut dilihat sebagai salah satu elemen penting dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah.
Hasil perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama strategik melalui perlaksanaan program perkongsian ilmu yg memfokuskan intergriti dan pencegahan rasuah dari kacamata Islam.
Jalinan itu diharap dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak perkongsian ilmu dan inisiatif bersama dalam menyemai budaya integriti dan antirasuah sekali gus memberi manfaat kepada warga kerja serta masyarakat di negeri Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




