PRN Negeri Sembilan: Tauliah mengajar agama calon, ahli politik digantung sepanjang kempen
SEREMBAN – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menggantung sementara tauliah mengajar agama yang dipegang oleh ahli politik dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sepanjang tempoh rasmi kempen.
Menurut surat pemakluman yang ditandatangani Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin, keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selain memastikan institusi agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik.
“Penggantungan tersebut melibatkan semua aktiviti pengajaran dan penyampaian ceramah agama oleh pemegang Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan yang terdiri daripada ahli politik atau calon PRN,” katanya.
Jabatan Mufti memaklumkan langkah itu diambil bagi menjaga kesucian institusi agama, memelihara keharmonian masyarakat serta mengelakkan masjid, surau dan premis pengajaran agama dijadikan medium yang boleh menimbulkan persepsi keberpihakan kepada mana-mana parti atau calon.
Katanya, penggantungan itu berkuat kuasa mulai 18 Julai lalu sehingga satu notis pemberitahuan baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
Jabatan Mufti turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh mengakibatkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta syarat-syarat Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan.
Selain itu, senarai nama ahli politik atau calon PRN Negeri Sembilan ke-16 yang terlibat dengan penggantungan sementara tauliah berkenaan telah diedarkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















