BERITA SEMASA

Jalaluddin calon nombor satu MB Negeri Sembilan jika BN menang – Zahid Hamidi 

JELEBU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN tidak perlu mengumumkan ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana parti itu mempunyai ramai pemimpin yang layak menerajui negeri berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias merupakan calon nombor satu untuk jawatan Menteri Besar sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri namun pelantikannya tetap tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Insya-Allah, kalau dulu menteri-menteri besar kita berprestasi tinggi. Saya yakin walaupun tidak disebutkan siapa ‘poster boy’ kita, siapa calon menteri besar kita, tak perlu… kita terlalu ramai calon-calon menteri besar, terlalu ramai,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Orang Asli Tohor, Jelebu, yang turut dihadiri Jalaluddin serta calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Siow Kong Choon.

Ahmad Zahid berkata, BN mempunyai ramai calon berwibawa untuk memimpin negeri, justeru pengumuman ‘poster boy’ bukan keutamaan dalam kempen kali ini.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu melahirkan keyakinan bahawa rakyat Negeri Sembilan mahukan perubahan dan percaya sokongan pengundi akan memihak kepada BN dalam PRN kali ini.

Beliau berkata kemenangan BN diyakini mampu membawa perubahan kepada pentadbiran negeri dengan harapan Negeri Sembilan kembali diterajui gabungan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button