PRN Negeri Sembilan: Danish Nazran tekad bawa suara belia di DUN Chembong
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad bertekad membawa semangat dan idea baharu kepada rakyat apabila menawarkan khidmat berteraskan tenaga muda.
Danish Nazran, 27, berkata, meskipun pertama kali diberi kepercayaan bertanding, kawasan Chembong dan Rembau bukanlah asing baginya.

“Saya sedar kapasiti saya sebagai calon baharu di sini, namun Chembong dan Rembau bukan kawasan yang asing bagi saya.
“Walaupun saya akan berhadapan dengan penyandang kerusi ini, saya akan memberikan yang terbaik selepas diberikan amanah oleh parti,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen beliau bersama jentera akan bekerja lebih keras bagi mendekati seramai mungkin pengundi dan menjelaskan agenda yang dibawa PH.
Katanya, sekiranya diberi mandat oleh rakyat, beliau mahu memainkan peranan aktif di peringkat akar umbi dengan menawarkan khidmat kepada masyarakat serta membantu menyelesaikan isu-isu tempatan.
“Andai kata terpilih, saya akan cuba membantu di peringkat lapangan menawarkan khidmat dan tenaga muda bagi menyelesaikan masalah di peringkat tempatan melalui kerja-kerja dan komunikasi di peringkat lapangan,” katanya.
Danish Nazran akan berdepan penyandang DUN Chembong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris dalam pertandingan satu lawan satu.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Zaifulbahri berjaya mempertahankan kerusi DUN Chembong selepas memperoleh 11,261 undi dengan majoriti 4,335.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















