Calon PH Senaling fokus kebajikan rakyat, peluang pekerjaan anak muda
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senaling, Hanis Alimin optimis momentum kempen yang digerakkan sejak hari pertama semakin positif apabila mendapat penerimaan baik daripada pengundi setempat.
Menurutnya, kempen yang memasuki hari keempat itu menunjukkan sokongan yang memberangsangkan dengan pendekatan turun padang dan bertemu seramai mungkin penduduk di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, semua berjalan dengan sangat baik. Kita sedang meningkatkan momentum kempen dan berjabat tangan dengan seramai mungkin pengundi.
“Setakat hari keempat ini, kita lihat pengundi dapat menerima kehadiran dan tawaran yang dibawa dengan baik,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Mengulas isu utama yang dibangkitkan penduduk, Hanis berkata, kebajikan rakyat, pembangunan setempat serta pembinaan infrastruktur antara perkara yang sering menjadi perhatian pengundi di DUN berkenaan.
“PH menawarkan pendekatan baharu kepada rakyat Senaling yang selama ini berada di bawah pentadbiran parti sama sejak lebih enam dekad lalu.
“Kita berharap tawaran yang dibawa dapat memberi pilihan kepada pengundi untuk mencipta perubahan di DUN Senaling,” katanya lagi.
Hanis berkata, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, fokus utama dalam tempoh 100 hari pertama adalah merancakkan pembangunan ekonomi setempat serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Menurutnya, Senaling mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor makanan tradisional dan pelancongan yang boleh dikembangkan sebagai sumber pendapatan penduduk.
“Kita tahu Senaling mempunyai banyak produk makanan dan tarikan yang menarik. Saya mahu membantu anak muda mewarisi perniagaan makanan tradisional serta mempromosikannya kepada pelancong.
“Apabila lebih ramai orang datang ke Senaling, mereka akan membeli produk tempatan dan secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduk.
“Ini penting kerana antara masalah yang sering dibangkitkan ialah kekurangan peluang pekerjaan sehingga menyebabkan anak muda terpaksa mencari rezeki di luar kawasan,” katanya lagi.
Hanis turut merayu supaya pengundi pulang mengundi pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada PH di DUN Senaling.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















