BERITA SEMASA

BNM perluas penangguhan bayaran balik kepada keluarga mangsa banjir Nepal-China

KUALA LUMPUR – Keluarga mangsa yang terjejas akibat kejadian banjir di sepanjang sempadan Nepal-China baru-baru ini layak dipertimbangkan untuk mendapatkan penangguhan pembayaran balik, selain bantuan kewangan lain daripada institusi berkaitan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, bank serta pengendali insurans dan takaful (ITO) terlibat telah menghubungi keluarga mangsa susulan pertemuan dengan waris pada 12 Oktober lalu.

Menurut BNM, bantuan tambahan turut boleh dipertimbangkan berdasarkan keadaan setiap keluarga, termasuk pengecualian yuran dan caj tertentu, perlindungan aset serta deposit pelanggan, selain kemudahan menguruskan tuntutan insurans dan takaful.

Sehubungan itu, keluarga terjejas digalakkan berhubung terus dengan bank dan ITO masing-masing bagi mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Sekiranya memerlukan bantuan lanjut dan penjelasan, mereka boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

BNM bersama industri kewangan turut menegaskan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa, tertakluk kepada undang-undang serta keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

Bank pusat itu berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan pelaksanaan bantuan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button