Mahkamah pertahan hukuman denda RM200 terhadap guru disiplin menampar pelajar
KOTA BHARU – Seorang majistret mempertahankan keputusan mengenakan denda RM200 terhadap seorang guru yang mengaku bersalah menampar pelajarnya sehingga menyebabkan kecederaan Mei tahun lalu, lapor BH Online.
Majistret Vinoshen Raveentharan berkata, guru berkenaan, Abdull Ropor Fakir Muhammad Khan, 57, tidak bersalah kerana menegur pelajar yang gagal mematuhi peraturan sekolah, namun cara teguran itu dilakukan adalah salah.
Beliau berkata, tertuduh yang bertugas sebagai guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh didapati menampar pelajar terbabit selepas beberapa kali menegurnya berhubung rambut panjang yang tidak mengikut peraturan sekolah.
“Mahkamah tidak menafikan tindakan tertuduh menampar pengadu sehingga menyebabkan kecederaan adalah salah dan wajar dihukum.
“Bagaimanapun, persoalan yang ingin dibangkitkan mahkamah ialah sama ada tertuduh, sebagai guru disiplin, mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan mendidik pelajarnya,” katanya dalam alasan penghakiman hari ini.
Abdull Ropor mengaku bersalah pada 7 Oktober lalu atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pelajar berkenaan mengalami bengkak dan lebam pada pipi kiri serta bibir akibat kejadian itu.
Vinoshen berkata, keengganan pelajar berkenaan mematuhi teguran berulang kali dipercayai mencetuskan kemarahan tertuduh sehingga menyebabkan dia bertindak menampar pelajar itu.
Bagaimanapun, beliau berpandangan tertuduh tidak berniat untuk mencederakan pelajar berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan mahkamah memandang serius peningkatan kes membabitkan dakwaan guru melakukan kekerasan fizikal terhadap pelajar dan setiap kes perlu dinilai berdasarkan fakta serta bukti bagi memastikan hukuman yang bersesuaian.
Beliau turut mengambil kira permohonan maaf tertuduh di mahkamah, penyesalannya serta janji untuk tidak mengulangi perbuatan itu.
“Disiplin bukan kekejaman, sebaliknya persediaan untuk masa depan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








