BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Gagal bayar kos mahkamah, aset Caprice akan disita, dijual

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi mengeluarkan writ penyitaan dan penjualan terhadap aset milik pempengaruh media sosial, Caprice, susulan kegagalannya menjelaskan kos mahkamah berjumlah RM8,000 dalam kes saman fitnah yang difailkan seorang ahli perniagaan.

Writ bertarikh 3 Disember 2025 itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman, selepas permohonan dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, R Jeyenderan, selaku plaintif dalam kes berkenaan.

Jumlah yang perlu dilunaskan merangkumi kos RM8,000 yang diperintahkan mahkamah pada 15 Oktober 2025, berserta alokatur RM320 yang dikira sehingga 21 November tahun sama, lapor Bernama hari ini.

Melalui writ tersebut, mahkamah membenarkan penyitaan dan, jika perlu, penjualan harta alih milik defendan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, bagi melangsaikan hutang penghakiman berkenaan.

Peguam plaintif, Muniandy Vestanathan dan Afiq Yahawa mengesahkan, dua bailif mahkamah hadir ke kediaman Caprice di Mont Kiara kira-kira pukul 10 pagi hari ini bagi melaksanakan writ tersebut, dengan iringan pengawal keselamatan kompleks pangsapuri berkenaan.

Bagaimanapun, usaha itu gagal dilaksanakan apabila tiada sesiapa membuka pintu meskipun loceng dibunyikan beberapa kali, selain pihak pengurusan memaklumkan bahawa defendan telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat pada tahun lalu.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roslan Mat Nor membenarkan permohonan Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnah terhadap Caprice serta memerintahkan pempengaruh itu membayar kos RM8,000 dalam tempoh dua minggu.

Caprice bagaimanapun didakwa gagal mematuhi perintah tersebut.

Jeyenderan memfailkan saman itu pada 21 Julai 2025, mendakwa defendan memuat naik beberapa hantaran di Instagram pada 10 Julai tahun sama, termasuk gambar dan video yang mengaitkannya dengan kegiatan jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta atas kerosakan reputasi selain ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button