Maut dibuli: Muhammad Idlan dipukul, disebat dengan paip getah berkali-kali
SEREMBAN – Pelajar Tingkatan Dua yang maut akibat dibuli di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah, Jumaat lalu, telah dipukul dan disebat menggunakan paip getah oleh dua pelajar senior sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, dipercayai dipukul terlebih dahulu di bilik seorang pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun di tingkat satu sebelum dibawa ke bilik seorang lagi suspek di tingkat dua.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya diarahkan mengambil paip getah di bilik air oleh salah seorang suspek sebelum dibawa ke bilik asrama berkenaan.

“Mangsa diarah supaya duduk sebelum tapak kakinya dipukul beberapa kali menggunakan paip getah.
“Selepas itu, mangsa diminta berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan di bahagian depan dan belakang badan sehingga terjatuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
BACA JUGA:
Pelajar tingkatan dua maut, ditemukan tidak sedarkan diri di asrama
Tindakan senior mahu hukum junior dipercayai motif kejadian
Alzafny berkata, selepas melihat keadaan mangsa semakin kritikal, mangsa dibaringkan di atas katil dan salah seorang suspek cuba memberikan bantuan pernafasan.
Katanya, suspek kemudian menghubungi warden selepas mendapati keadaan mangsa parah.
“Muhammad Idlan kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurut Alzafny, siasatan setakat ini mendapati kejadian terbabit melibatkan dua suspek, masing-masing berusia 16 tahun.
Media sebelum melaporkan keluarga Allahyarham Muhammad Idlan menuntut pihak sekolah memberikan penjelasan berhubung kejadian sebenar yang menyebabkan kematian pelajar berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

