Pekerja asing parah ditetak suspek cuba curi bateri kereta
KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga asing mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai ditetak menggunakan parang oleh individu yang disyaki cuba mencuri bateri kenderaan di sebuah premis jualan kereta terpakai di Jalan Kuda Emas, Cheras, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi semalam ketika mangsa berusia 54 tahun itu sedang menjalankan tugas di premis berkenaan.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 8.52 pagi hari yang sama.
“Keadaan mangsa kini dilaporkan separa kritikal dan sedang menerima rawatan kecemasan di Zon Merah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermotifkan jenayah curi.
“Polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya lagi.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-9205 0222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







