JIM gempur premis perindustrian, 171 PATI ditahan
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan 171 pekerja asing tanpa izin selepas menggempur empat premis perindustrian di Semenyih dan sebuah tapak pembinaan di Sungai Long, Kajang dalam satu operasi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kekuatan seramai 110 pegawai bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menurut beliau, dalam operasi bermula pukul 12 tengah hari itu, seramai 216 individu terdiri daripada 189 warga asing dan 27 warga tempatan telah diperiksa.
“Serbuan dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama dua minggu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 171 individu yang terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia di antara 29 hingga 50 tahun telah ditahan.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, sebanyak tiga kompaun berjumlah RM15,000 serta saman berjumlah RM500 turut dikeluarkan terhadap syarikat terbabit di bawah Seksyen 30(1)(b), Akta Syarikat 2016 dan Kaedah 17A(2), Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.
“Semasa operasi dijalankan, sebanyak lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








