Tidak puas hati rakan maut dilanggar, pekerja asing Nepal merusuh di jalan raya
IPOH – Polis menahan 13 pekerja asing warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang selepas cuba mencetuskan rusuhan di Changkat Jong, Teluk Intan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, semua suspek adalah sebahagian daripada pekerja asing yang terbabit dalam insiden rusuhan di jalan raya.
Katanya, kejadian itu berpunca daripada satu kemalangan maut langgar lari membabitkan seorang pejalan kaki warga Nepal di Batu 8.
“Kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 9.35 malam. Siasatan mendapati kira-kira 1,000 pekerja sebuah kilang di kawasan itu turun ke lokasi kejadian sehingga menghalang lalu lintas.”
“Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi. Keadaan pulih sepenuhnya pada jam 2 pagi, dan semua pekerja warga Nepal telah kembali ke asrama mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu katanya, kes terhadap 13 warga asing Nepal yang ditahan, disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohammad Syamil, di talian 011-10065817.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video yang menunjukkan sekumpulan warga asing sedang merusuh diatas jalan raya, sehingga menyebabkan kenderaan tidak dapat menggunakan laluan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








