LUAR NEGARA

Banjir besar di sempadan Nepal-Tibet berpunca daripada runtuhan glasier – USGS

KATHMANDU – Kejadian banjir besar di sempadan Nepal dengan Tibet semalam adalah disebabkan runtuhan glasier yang menyebabkan aktiviti seismik dan kesan “malapetaka” di kawasan tersebut.

Laporan AFP yang memetik kenyataan Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) hari ini berkata, aktiviti seismik yang pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi itu sebenarnya merupakan “runtuhan glasier dan aliran serpihan” yang kemudiannya menyebabkan kesan dahsyat di kawasan hilir.

“Satu kejadian seismik pada magnitud 5.2 berlaku berhampiran sempadan Nepal dan China, 26 Ogos pukul 8.37 pagi waktu tempatan.”

“Kejadian itu pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi bermagnitud 4.4.

“(Bagaimanapun) Analisis lanjut terhadap data daripada stesen seismik berdekatan mendapati, gelombang seismik tempoh panjang dan imejan satelit membawa kepada kesimpulan bahawa kejadian seismik itu sebenarnya merupakan runtuhan glasier dan aliran serpihan, dan tiada gempa bumi berlaku,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 160 orang maut akibat arus deras air dan serpihan yang melanda kawasan di kedua-dua belah sempadan Nepal-Tibet, manakala ratusan lagi dilaporkan masih hilang di kedua-dua kawasan.

Terdahulu, punca bencana itu tidak dapat dipastikan puncanya.

Bagaimanapun, Menteri Luar Nepal, Shishir Khanal berkata, gempa bumi berkemungkinan mencetuskan tanah runtuh yang kemudiannya menghalang aliran sungai dan menyebabkan air mengalir deras ke kawasan hilir.

Teori lain yang dikemukakan termasuk banjir tasik glasier iaitu apabila dinding serpihan rapuh yang menahan air cair daripada glasier runtuh atau akibat runtuhan ais.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button