BERITA SEMASA

Bencana Nepal: 77 rakyat Malaysia ditemui selamat akan dibawa pulang

PUTRAJAYA – Kesemua 77 rakyat Malaysia yang ditemui selamat di Tibet dan Nepal akan dibawa ke Kathmandu bagi proses penghantaran pulang.

Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan kejadian banjir besar di Nepal, minggu lalu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah, Menteri Luar telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu.

“Menteri Luar memaklumkan kepada Kabinet bahawa 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan.

“Sementara itu, 77 rakyat Malaysia yang ditemui di Tibet dan Nepal, dibawa ke Kathmandu untuk proses penghantaran pulang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, Kabinet turut mengambil maklum sumbangan Malaysia sebanyak AS$1 juta (RM4.04 juta) kepada Nepal bagi bantuan kemanusiaan susulan bencana berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan itu pada 30 Ogos lalu, selain mengumumkan penghantaran Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Pasukan SMART turut membantu mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu, selain membantu Kedutaan Malaysia di Kathmandu menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Banjir dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu, menyebabkan kemusnahan besar di sepanjang sempadan Nepal-Tibet.

Menurut Associated Press (AP), sekurang-kurangnya 1,118 orang terbunuh di Nepal, manakala lebih 3,900 lagi masih hilang, setakat hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button