BERITA SEMASA

Baki bekalan Baja 3 MADA mula dihantar esok, selesai dalam 10 hari

SERDANG – Isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan diselesaikan segera apabila penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula esok.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keseluruhan proses penghantaran baki bekalan kepada pesawah yang terjejas disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.

Katanya, langkah itu susulan persetujuan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap permohonannya supaya perkhidmatan syarikat pembekalan Baja 3 ditamatkan akibat kelewatan yang berlaku.

“Saya telah mengemukakan surat kepada Perdana Menteri pada 27 Ogos 2026, memohon supaya perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn Bhd bagi pembekalan berkenaan ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku.

“Pada masa sama, saya mencadangkan supaya Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, susulan persetujuan Perdana Menteri itu, penghantaran baki Baja 3 akan dimulakan pada 3 September dan disasarkan selesai sepenuhnya dalam tempoh 10 hari.

Beliau turut mengarahkan MADA supaya memantau proses penghantaran secara rapi sehingga bekalan benar-benar diterima oleh pesawah.

“Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor pengeluaran makanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button