BERITA SEMASA

Bekalan beras putih tempatan dijangka stabil dalam masa sebulan

KEPALA BATAS – Bekalan beras putih tempatan dijangka akan kembali stabil di pasaran dalam masa sebulan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hasil libat urus kementeriannya bersama pemain industri beras negara yang melibatkan pengilang, pemborong dan peruncit, telah bersetuju memberikan komitmen bagi merealisasikan pelaksanaan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara.

“Melalui PKBPT, pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan beras putih tempatan untuk pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.

“Kita juga akan membuat intervensi di mana terdapat kekurangan, kemudian kita akan tampung melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya pada satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad melancarkan Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena, iaitu inisiatif di bawah seliaan LPP dalam PKBPT bagi tujuan pengedaran beras putih tempatan kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.

Beliau seterusnya berkata, kaedah intervensi itu dilakukan ketika pasaran berhadapan kekurangan bekalan ayam dan telur sebelum ini.

Dalam pada itu beliau berkata Peladang Outlet di sini hari ini akan menjual 2,000 kampit beras pada harga RM26 untuk 10 kilogram.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim yang turut hadir pada program berkenaan berkata bermula April hingga Ogos 2023, sebanyak 62 program telah dilaksanakan di Pertubuhan Peladang seluruh negara yang mencatat hasil jualan sebanyak RM742,361.50 dan kehadiran pengunjung seramai 45,850 orang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button