BERITA SEMASA

Kerajaan sedia pelan jangka pendek atasi musim kemarau di Kelantan

SUBANG – Operasi meletupkan atau memecahkan batu hamparan berhampiran Rumah Pam Kemubu, Kota Bharu di Kelantan merupakan antara beberapa penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi musim kemarau di negeri berkenaan.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, inisiatif itu akan dibuat jika operasi pembenihan awan selama tiga hari mulai kelmarin, di tujuh lokaliti sekitar Kelantan, tidak berhasil.

Beliau berkata, operasi meletupkan itu apabila dilaksanakan akan memberi laluan kepada proses penjajaran air ke pam Kemubu dengan harapan pembenihan awan boleh menghasilkan hujan dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan paras air di kawasan pam bagi operasi sedia ada di Pam Kemubu I dan II.

Selain itu, katanya, telaga tiub akan dipasang di 280 lokasi dikenal pasti di sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), sebagai alternatif mengatasi musim kemarau di Kelantan.

“Beberapa telaga tiub sudah dibuat dalam masa terdekat dan operasi antara dua atau tiga telahpun dilaksanakan. Kita lihat di telaga tiub itu ada air yang boleh digunakan, selain perlu melihat perkembangan semasa antara dua hingga tiga hari lagi”

“Seterusnya, kita melihat kepada ‘shift piles’ atau pelaksanaan beberapa jajaran di Sungai Kelantan dimana proses ini memerlukan kebenaran kerajaan negeri. Ia akan menjadi antara pelan jangka pendek dan sederhana yang boleh dilaksanakan”

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kita akan mencadangkan (pembinaan) ampang jajar di kawasan Sungai Kelantan dengan perincian bakal dikemukakan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13),”

Mohamad berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menyertai opersi pembenihan awan di tujuh lokaliti di Kelantan menggunakan pesawat C130H di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Datuk Khairul Shahril Idrus serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Sementara itu, Mohamad turut berkata, negara akan berdepan kekurangan kira-kira empat peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran beras, jika proses penanaman padi sekitar Kelantan, gagal dibuat ekoran musim kemarau berpanjangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button