BERITA SEMASA

Kerajaan tubuhkan jawatankuasa Kabinet tangani isu bekalan gula

KUALA TERENGGANU – Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi merangka strategi dan pelan tindakan dalam menangani isu bekalan gula.

Jawatan kuasa tersebut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Ekonomi.

“Kabinet yang bermesyuarat pada Rabu lepas bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa Kabinet mengenai hala tuju bekalan gula dalam negara bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Kita mengambil tindakan yang lebih proaktif berdasarkan kepada kenaikan harga gula mentah dan bahan api iaitu gas asli yang tidak dapat dielakkan.

“Oleh itu, kerajaan akan memastikan ada pelan strategik bagi memastikan tidak berlakunya bekalan gula terganggu dan tidak berlaku krisis,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini

Beliau memberitahu, pegawai di kementerian terlibat telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa khas bagi merangka pelan strategik untuk memastikan bekalan bekalan gula sentiasa mencukupi dan tidak berlaku terganggu.

“Pelan strategik bekalan gula itu dijangka dibentangkan jawatankuasa tersebut kepada Kabinet dalam tempoh sebulan,” kata Salahuddin.

Pada masa sama, beliau menambah, kementeriannya juga mengadakan sesi libat urus dengan syarikat-syarikat pengeluar gula iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) untuk mendengar isu-isu yang dihadapi syarikat terbabit.

“Sesi libat urus itu diadakan untuk memastikan gangguan bekalan gula yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada Aidilfitri lalu tidak berulang lagi selepas ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button