Paparan harga ubat: Tiada saman dalam tempoh tiga bulan
PUTRAJAYA – Tiada sebarang saman akan dikeluarkan sepanjang tempoh tiga bulan advokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 bagi kesalahan tidak memaparkan harga ubat-ubatan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Dr. Azuana Ramli berkata, tempoh masa tersebut bertujuan melihat keberkesanan pelaksanaan perintah itu dilakukan dengan baik.
“Dalam fasa ini, ia akan menjadi proses bagi kedua-dua pihak iaitu kerajaan serta pemegang taruh untuk belajar dan menjelaskan perkara yang perlu dilakukan.
“Pada masa sama, kami juga akan melihat bagaimana perintah itu dilaksanakan. Justeru itu, tiada hasrat untuk mengenakan sebarang tindakan sepanjang tempoh terbabit termasuk mengeluarkan saman,” katanya pada sesi taklimat media berhubung inisiatif pemaparan harga ubat di bangunan KKM, di sini hari ini.
Menurut beliau, buat masa ini Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM belum turun ke lapangan bagi pemeriksaan pelaksanaan perintah itu yang bermula semalam.
“Pada hari pertama perlaksanaan perintah ini, belum ada lagi pegawai penguatkuasa KKM yang turun ke lapangan untuk membuat pemeriksaan.
“Bagaimanapun, kami ada membuat pemantauan di media sosial sekiranya terdapat aduan mahupun kekeliruan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang saman ketika pelaksanaan perintah itu dimulakan semalam.
Beliau berkata demikian apabila ditanya isu berkaitan dakwaan seorang doktor yang memaklumkan diugut untuk disaman oleh pegawai penguatkuasa KPDN yang tular di media sosial.
“Selain perintah penandaan harga ubat ini, pegawai penguatkuasa KPDN juga melaksanakan pemeriksaan bagi tindakan penguatkuasaan lain seperti tong gas serta telur yang juga berkuat kuasa semalam.
“Dalam isu itu (dakwaan berkenaan), tiada saman dikeluarkan semalam oleh pegawai penguatkuasa KPDN berkaitan perintah terbabit,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








