BERITA SEMASA

Fadhlina jawab tujuh saranan Asyraf Wajdi susulan tragedi buli

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) ke 333 sekolah tahun ini sebagai antara usaha menghapuskan ‘blind spot’ yang boleh membuka ruang kepada kejadian buli.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pemasangan CCTV turut disokong pemantauan manusia serta kepakaran keselamatan termasuk daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

“CCTV sudah dipasang di sekolah berasrama dan tahun ini diperluaskan kepada 333 sekolah,” katanya dalam kenyataan bagi menjawab tujuh saranan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, susulan tragedi buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba.

Fadhlina berkata, kawasan seperti tangga, koridor, bilik persediaan (prep) dan kawasan terpencil dikenal pasti sebagai lokasi yang memerlukan perhatian.

Bagaimanapun, katanya, CCTV bukan penyelesaian ajaib dan sebab itu KPM turut menambah pemantauan manusia serta membawa masuk kepakaran keselamatan.

Mengulas saranan mewujudkan warden profesional sepenuh masa, Fadhlina berkata, asrama sememangnya memerlukan lebih banyak mata dan telinga bagi memastikan keselamatan serta kebajikan murid terjamin.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 10,000 warden asrama, manakala 300 Pembantu Warden Asrama ditambah sejak April lalu.

“Mereka membantu warden menjaga keselamatan dan kebajikan murid, khususnya pemantauan pada waktu malam supaya risiko atau kejadian di asrama dapat dikesan dan ditangani lebih awal,” katanya.

Mengenai saranan supaya pendirian sifar toleransi terhadap buli diperkukuh, Fadhlina berkata, perkara itu sememangnya sudah menjadi pendirian KPM.

“Yang ini sebenarnya memang sudah ada. Pendirian KPM jelas. Tiada kompromi terhadap buli,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan menangani buli sudah ada sejak sekurang-kurangnya 2010 dan diperkukuh lagi menerusi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli 2023.

Katanya, jika sesuatu kes mempunyai unsur jenayah, sekolah tidak boleh mengambil alih tugas polis dan menyelesaikannya sebagai kes disiplin semata-mata, sebaliknya kes perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Mengenai penggunaan sepenuhnya Akta Antibuli 2026 pula, Fadhlina berkata, perkara itu sememangnya tujuan akta berkenaan digubal, dengan KPM antara pihak yang menggerakkan cadangan Akta Antibuli dan Tribunal sebelum ia digubal bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

“Selepas Akta ini, pengurusan buli bukan lagi bergantung kepada garis panduan sekolah semata-mata. Institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang dan mangsa mempunyai laluan ke Tribunal jika aduannya tidak ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Berhubung saranan supaya pihak yang menutup kes dihukum, Fadhlina berkata, tindakan mesti diambil terhadap mana-mana pentadbir atau guru yang cuai atau cuba melindungi kes.

Sehubungan itu, katanya, KPM turut melakukan reformasi terhadap Portal Aduan Buli KPM dengan memperkenalkan fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

“Kita kena pastikan mereka ada jalan untuk bersuara dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, ada orang yang akan bertindak,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina menyambut baik cadangan mewujudkan sistem amaran awal bagi mengesan buli sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Malah sejak 2010, sekolah sudah diarahkan mengesan tanda-tanda buli lebih awal dan bertindak sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Sekarang kita pergi lebih jauh. Kita ada pemantauan, saluran aduan dan SAFE, iaitu intervensi antibuli yang dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah. Kita tak mahu tunggu sampai ada kes besar baru hendak bergerak,” katanya.

Mengenai budaya senioriti, beliau menegaskan tiada istilah ‘senior ajar junior’ jika ia bermaksud memukul, mengugut atau memalukan sesuka hati.

Katanya, menerusi SAFE, pencegahan dibuat di seluruh sekolah dengan melibatkan murid, guru dan komuniti sekolah bagi memutuskan budaya yang membenarkan buli.

“Ibu bapa juga mesti terlibat kerana mereka mungkin orang pertama yang nampak perubahan pada anak.

“Kalau senioriti membuatkan junior takut untuk bersuara, itu bukan tradisi. Itu budaya yang kita kena hentikan,” katanya.

Fadhlina berkata, usaha membanteras buli perlu bergerak lebih jauh dengan melihat bagaimana anak-anak memahami kekerasan, melayan mereka yang lebih lemah dan berani bersuara apabila melihat sesuatu yang salah.

“Kita boleh tambah warden, pasang CCTV, perketat garis panduan dan sediakan saluran aduan. Semua itu tanggungjawab kita dan mesti terus diperbaiki.

“Kita semua ada bahagian dalam memastikan anak-anak kita selamat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button