KPKM adakan libat urus bersama pihak berkepentingan industri padi, beras
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengadakan satu sesi libat urus bersama
pemegang taruh industri padi dan beras pada Khamis lalu bagi mengambil kira
pandangan, ulasan serta input daripada pemain industri.
Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu adalah susulan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Februari lepas.
Menurut KPKM, mesyuarat itu bersetuju supaya KPKM mengadakan kajian dan perbincangan lanjut berhubung industri padi dan beras secara menyeluruh dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna.
“Sesi tersebut dihadiri pelbagai pihak berkepentingan di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras yang terdiri daripada wakil persatuan pengilang, pemborong, peruncit dan restoran,” katanya
Menerusi sesi libat urus ini juga, segala pandangan, ulasan serta input yang diberikan akan diperhalusi serta dikaji melibatkan kepentingan semua pihak dalam rantaian nilai industri padi dan beras bermula daripada pesawah, pengilang, pemborong serta peruncit seterusnya pengguna sebelum diangkat satu pelan tindakan baharu industri padi dan beras untuk pertimbangan Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Datuk Azman Mahmood serta wakil Padiberas Nasional Berhad (Bernas), selain wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi (KE), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







