PM beri bayangan peruntukan KPKM boleh ditambah, dengan syarat tadbir urus diperkukuh
SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) boleh ditambah bagi memastikan kebajikan petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan terus terbela.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang pertambahan peruntukan perlu disertai pengurusan dana awam yang teliti, telus dan mempunyai tadbir urus yang baik bagi mengelakkan berlaku ketirisan.
Anwar berkata, beliau tiada masalah untuk meningkatkan peruntukan kepada kementerian berkenaan kerana bantuan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada golongan terbabit.
“Peningkatan peruntukan itu bagaimanapun perlu disertai tadbir urus yang baik bagi memastikan dana berkenaan digunakan secara berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Baca juga : Kelewatan baja pesawah: Anwar arah SPRM jalankan siasatan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI menekankan soal tata kelola dan tadbir urus yang baik kerana peruntukan yang besar mesti diuruskan dengan sebaiknya, khususnya demi memastikan nasib petani, pesawah dan nelayan terus terbela
Tegasnya, belanja boleh bertambah, peruntukan boleh bertambah akan tetapi jika ia bocor atau mengalami ketirisan, yang terjejas adalah petani, nelayan dan pesawah.
“Begitu juga dengan isu FELDA, setiap tahun Kementerian Kewangan mesti sediakan RM980 juta dana untuk membayar hutang akibat kerugian FELDA, hampir satu bilion ringgit dari wang kerajaan, wang rakyat.
“Kita terpaksa bayar, jika disebabkan bencana alam bolehlah kita faham tetapi ini disebabkan oleh pengurusan yang lemah dan amalan mengambil hak rakyat oleh orang-orang yang diamanahkan.
“Bagaimana saya nak bebankan peneroka dari kampung yang miskin, ia bukan salah mereka. Urus lemah, wang songlap atau ada sakau, kemudian apabila rugi nak bebankan kepada orang kampung, peneroka saya tak sanggup,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut menambah dana RM450 juta untuk membaiki rumah peneroka, sambil menegaskan rakyat tidak akan terbeban sekiranya FELDA diurus dengan baik.
“Kita tak payah fikir nak cukai sebab pengurusan baik, jadi saya minta masing-masing harus bantu menjaga wang rakyat, wang negara dengan cermat. Ini kerana kita bukan sahaja bertanggungjawab kepada rakyat tetapi akhirnya juga kepada Allah SWT,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








