Bekalan telur, ayam mencukupi menjelang Ramadan – KPKM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ayam serta telur di pasaran tempatan berada dalam keadaan stabil dan dijangka mencukupi, termasuk menjelang Ramadan bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jaminan itu bersandarkan data semasa kementerian yang menunjukkan tahap pengeluaran dan edaran kedua-dua komoditi berkenaan berada pada paras memuaskan.
Menurut beliau, antara cabaran yang berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan ialah aktiviti penyeludupan, justeru kawalan bersepadu membabitkan semua pihak berkaitan perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan kebocoran bekalan.

“Dalam masa sama, kementerian juga akan memastikan import ayam dilaksanakan secara seimbang supaya tidak menjejaskan pengeluaran tempatan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN–Sabak Bernam) berhubung perancangan kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan ayam di pasaran serta usaha mengurangkan kebergantungan kepada import demi melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS–Betong) mengenai langkah menangani tekanan kos makanan ternakan, Mohamad berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Jabatan Pertanian telah membangunkan alternatif bahan mentah tempatan.
Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly dan jagung bijirin tempatan sebagai sumber makanan ternakan.
“Setakat ini, 15 syarikat terlibat dalam inisiatif penanaman jagung bijirin tempatan, dengan kerajaan menyediakan sokongan awal dari segi kewangan dan logistik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








