PMX

PM serah surat pelantikan Datuk Bandar KL baharu

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat pelantikan kepada Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang akan menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL) baharu bermula hari ini.

Perdana Menteri berkata, pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya percaya, beliau adalah individu yang layak untuk menggalas amanah mengemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan pengalaman selama hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti tatkala mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Ini termasuk pengalamannya sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya semalam.

Lebih membanggakan, Anwar berkata, Maimunah pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan berkenaan.

“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button