KUALA LUMPUR – Kejayaan atlet e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira merangkul pingat emas dalam acara Gran Turismo 7 di Sukan Asia Aichi-Nagoya wajar dijadikan contoh buat golongan muda untuk mengembangkan minat terhadap permainan video sehingga mampu mengharumkan nama negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri pada masa sama turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan pelumba e-racing berusia 27 tahun itu yang mengungguli acara Gran Turismo 7 sekali gus menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan.
“Alhamdulillah, satu lagi khabar gembira dari bumi Jepun! Atlet e-sukan negara, saudara Taj Izrin Aiman Taj Madira, merangkul pingat emas dalam acara Gran Turismo 7 di Sukan Asia Aichi-Nagoya. Ini emas kedua buat kontinjen Malaysia.
“Kejayaan ini harus jadi contoh buat anak-anak muda kita. Kalau mahu main game, biarlah sampai mengharumkan nama negara seperti saudara Taj Izrin Aiman! Tahniah, kami bangga dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Taj Izrin mencipta sejarah apabila mengungguli acara Gran Turismo 7 di Aichi Sky Expo, sekali gus menjadi atlet e-sukan pertama Malaysia memenangi pingat emas Sukan Asia.
Kejayaan itu bakal membawa ganjaran lumayan buat Taj Izrin apabila bakal menerima habuan keseluruhan RM100,000 membabitkan RM80,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain tambahan RM20,000 daripada Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan terus mengikuti perkembangan atlet negara yang sedang berjuang pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Katanya, beliau akan berbuat demikian di sela-sela jadual padat lawatan beliau di China.
“Insya-Allah di sela-sela jadual padat lawatan di China, saya akan terus ikuti perkembangan atlet kita. Teruskan berjuang Malaysia!,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














