Lelaki jual daging salai jalani pembedahan implan kepala Selasa ini
JITRA – Lelaki yang tular menjual daging salai untuk membiayai kos pembedahan implan tempurung kepala, dijadualkan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Selasa ini.
Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, berkata, beliau bersyukur atas keprihatinan masyarakat negara ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyumbang RM15,000 untuk pembedahannya.
“Terima kasih kepada semua yang membantu saya terutama yang membeli daging salai saya menerusi media sosial, hanya Allah yang dapat membalas budi mereka,” katanya selepas menerima kunjungan
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang turut menyampaikan sumbangan RM5,000.
Muhammad Sufi yang merupakan seorang fisioterapi di HSB terpaksa menghentikan perniagaannya buat sementara waktu kerana perlu memberi tumpuan kepada rawatan.
Kisahnya yang tular menyebabkan permintaan tinggi terhadap daging salainya, namun beliau tidak dapat memenuhi semua pesanan.
Sufi sebelum ini mengalami kemalangan dua tahun lalu yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya rosak dan koma lebih sebulan.
Ibunya, Noraini Ishak, terharu dengan sokongan rakyat Malaysia dan berharap mereka dapat meneruskan perniagaan daging salai selepas pembedahan anaknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








