PM arah bantuan segera kepada rakyat Malaysia terjejas banjir Nepal-China
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya segala keperluan bantuan disediakan bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-China dikenal pasti dan dibantu.
Anwar berkata, Kedutaan Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat bencana berkenaan.
“Pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka turut dikerahkan untuk memperkukuh usaha ini di lapangan.
“Saya telah mengarahkan supaya misi kita dibekalkan dengan setiap sumber yang diperlukan. Kerajaan akan terus terlibat sepenuhnya sehingga semua rakyat Malaysia yang terjejas dikenal pasti dan keluarga mereka mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan rasa amat dukacita berikutan bencana banjir kilat yang melanda kawasan sempadan Nepal-China.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal serta China, khususnya kepada mereka yang kehilangan insan tersayang atau masih menunggu khabar mengenai ahli keluarga yang hilang.
Anwar turut memuji keberanian dan dedikasi anggota pasukan mencari dan menyelamat yang sedang menjalankan tugas dalam keadaan amat mencabar.
“Doa dan ingatan kami bersama semua yang terjejas,” katanya.
Sekurang-kurangnya 157 mayat ditemui, manakala lebih 400 pelancong dilapor masih hilang selepas runtuhan tebing lumpur dan batu mencetuskan banjir di kawasan sempadan Himalaya antara Nepal dan Tibet, China, semalam.
Banjir itu memusnahkan kediaman, laluan darat serta projek tenaga di Nepal, manakala pihak berkuasa di Tibet mengesahkan kebimbangan berlaku korban jiwa yang tinggi di pintu sempadan daerah Gyirong.
Laporan awal pihak berkuasa Nepal mendapati gempa bumi di kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca gelongsoran bahagian bawah glasiar sehingga mencetuskan banjir berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








