2,112 mangsa dipindahkan di tiga negeri dilanda banjir
KUALA LUMPUR – Situasi banjir di pantai timur semakin meruncing apabila Kedah menjadi negeri terbaharu yang dinaiki air, selepas Kelantan dan Terengganu terlebih dahulu dilanda bencana itu.
Perkembangan itu sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan mangsa dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri berkenaan kepada 2,112 orang setakat pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, seramai 225 mangsa daripada 66 keluarga di daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik.
“Mukim yang terlibat ialah Sungai Seluang dan mangsa adalah dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,623 orang pagi ini berbanding 1,170 malam tadi melibatkan tiga jajahan yang terjejas susulan hujan lebat berterusan pada tahap waspada sejak Jumaat lalu.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, susulan keadaan itu, sebanyak 12 PPS beroperasi di Kota Bharu, Tumpat dan Bachok.
Antara PPS di Kota Bharu ialah SK Sering, SK Raja Sakti, SK Tapang, SK Parang Puting, SK Islah, SK Seribong dan SK Sabak, manakala di Tumpat melibatkan SK Seri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2. Tiga PPS turut dibuka di Bachok iaitu SK Sembilan Pauh, SK Jelawat dan SK Pa’Pura.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








