Sukan Asia: Eain Yow pertahan emas, layak ke LA28
NAGOYA – Ng Eain Yow mencipta sejarah apabila menjadi pemain skuasy pertama layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.
Pemain berusia 28 tahun itu menewaskan wakil India, Abhay Singh, 11-9, 11-5, 11-5 pada aksi final di Arena Nagoya Kinjo Futo.
Kemenangan itu turut menjadikan Eain Yow atlet Malaysia pertama mengesahkan tiket ke LA28.
Pemenang acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia berkenaan diberikan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2028, yang bakal menyaksikan skuasy membuat penampilan sulung di temasya berkenaan.
Eain Yow juga menjadi pemain pertama mempertahankan emas perseorangan lelaki Sukan Asia sejak Ong Beng Hee melakukannya pada edisi 2002 dan 2006.
Skuasy diterima masuk ke dalam program Olimpik oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 2023 selepas usaha bertahun-tahun untuk disenaraikan dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
Terdahulu, pemain ranking ke-18 dunia itu menewaskan Noor Zaman pada separuh akhir, manakala Abhay yang menghuni ranking ke-26 dunia menundukkan Muhammad Irfan.
Noor kemudian meraih gangsa selepas menewaskan Muhammad 11-7, 11-7, 13-11 dalam penentuan tempat ketiga antara wakil Pakistan, hari ini.
Dalam pada itu, juara bertahan perseorangan wanita, S Sivasangari yang kini berada di ranking kelima dunia, dijadualkan turun beraksi dalam final menentang wakil India, Anahat Singh, yang menghuni ranking ke-17 dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








