SUKAN

Vinicius Jr pertimbang tawaran lumayan sertai Liga Pro Saudi

MADRID – Penyerang Real Madrid, Vinicius Jr, 24, mempertimbangkan tawaran lumayan berjumlah lebih 1 bilion euro (RM4.87 bilion) bagi menyertai Liga Pro Saudi.

Memetik laporan Reuters, tawaran tersebut meliputi kontrak lima tahun bernilai 200 juta euro (RM974.25 juta) semusim, berserta bonus.

Pakej itu termasuk kontrak berasingan selama 10 tahun sebagai duta untuk Piala Dunia 2034, yang akan berlangsung di negara itu, tetapi syarat serta jumlah sebenar belum dibincangkan.

Walaupun tawaran rasmi masih belum dibuat, bintang Brazil itu tidak menolak kemungkinan perpindahan itu, malah memberi laluan kepada Public Investment Fund (PIF) untuk berunding dengan Real Madrid.

Vinicius yang merupakan calon Ballon d’Or selepas membantu Real memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga musim lalu itu menyifatkan tawaran lumayan seperti ini perlu perlu diteliti terlebih dahulu.

Sementara itu, Real Madrid dilaporkan tidak berminat untuk melepaskan Vinicius dengan meletakkan klausa pelepasan berjumlah 1 bilion euro (RM4.87 bilion) untuk pemain itu.

Perpindahan terbesar Saudi datang daripada kelab paling berjaya di negara itu, Al-Hilal, yang membelanjakan 90 juta euro untuk membeli penyerang Neymar dari Paris St Germain.

Dengan Karim Benzema di Al-Ittihad dan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr, PIF cuba memujuk kapten Perancis Kylian Mbappe untuk menjadi nama besar Al-Ahli.

Penyerang itu walau bagaimanapun menolak tawaran lumayan Saudi dan menyertai Real Madrid pada Jun lalu.

Tawaran untuk Vinicius difahamkan sama seperti apa yang telah ditawarkan kepada Mbappe.

Sekiranya pemain Brazil itu menyertai Al-Ahli, Vinicius akan mengikut jejak langkah bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Riyad Mahrez dan Roberto Firmino yang telah menyertai kelab berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button