BERITA SEMASALUAR NEGARA

Snoop Dogg kini pemilik bersama Swansea City

LONDON – Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Snoop Dogg sah menjadi pemilik bersama dan pelabur dalam kelab Liga Kejuaraan England, Swansea City, selepas mengambil pegangan dalam kelab berkenaan.

Snoop Dogg atau nama sebenarnya Calvin Broadus pada hujung minggu lalu mencuri tumpuan apabila muncul sebagai model pada majlis pelancaran jersi baharu Swansea bagi musim 2025-2026.

Pengurusan Swansea dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa bintang berusia 53 tahun itu kini menyertai kumpulan pemilik kelab bersama legenda bola sepak Real Madrid dan Croatia, Luka Modric, yang turut melabur dalam kelab itu April lalu.

“Saya memang dikenali sebagai peminat bola sepak, tetapi peluang memiliki sebahagian daripada kelab seperti Swansea City amat istimewa buat saya.

“Kisah kelab ini dan komuniti sekitarnya sangat menyentuh hati saya. Ini adalah kelab yang penuh kebanggaan pejuang ‘underdog’ yang tidak mudah mengalah, sama seperti saya,” kata Snoop Dogg menerusi laman web rasmi kelab.

Snoop Dogg turut berikrar untuk membantu kelab itu sebaik mungkin dan mengakui teruja menjadi sebahagian daripada keluarga Swansea City.

Pemilik kelab yang diketuai oleh ahli perniagaan Amerika, Brett Cravatt dan Jason Cohen turut menyatakan penyertaan rapper legenda itu selaras dengan usaha mereka untuk meningkatkan profil dan pendapatan kelab bagi mematuhi peraturan kewangan serta memperkukuh kekuatan pasukan.

“Menggunakan judul lagu popular Snoop Dogg, ini akan menjadi adalah ‘episod baharu’ buat Swansea City dalam usaha kami membuka peluang baharu bagi melonjakkan jangkauan dan nama kelab di peringkat global,” kata kenyataan itu lagi.

Dengan lebih 100 juta pengikut di media sosial, penyertaan Snoop Dogg diyakini mampu menarik perhatian dunia terhadap Swansea City, sekali gus memperkukuh cita-cita kelab itu untuk kekal kompetitif dalam saingan bola sepak England.

 

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button