Ikan Kanai muncul semula di Sungai Kuala selepas 15 tahun
GEORGE TOWN – Penemuan seekor ikan Kanai atau Black Bass (Lutjanus goldiei) di Sungai Kuala, Pulau Pinang pada 30 Ogos lalu mencuri perhatian apabila spesies berkenaan dipercayai tidak direkodkan di kawasan itu sejak kira-kira 15 tahun lalu.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memaklumkan, spesimen berkenaan yang berjaya ditangkap nelayan tempatan sekali gus menjadi penemuan penting dari sudut rekod perikanan negara.
“Ikan Kanai merupakan spesies pemangsa estuari yang terkenal sebagai ikan sukan premium kerana kekuatan dan ketahanannya.
“Ia lazimnya ditemui di kawasan estuari Sabah dan Papua New Guinea, manakala habitatnya merangkumi kawasan pesisir sungai yang dipengaruhi pasang surut serta kawasan bakau dan nipah,” menurut DOF dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Menurut DOF, penemuan itu menunjukkan Sungai Kuala mempunyai keadaan ekologi yang sesuai untuk spesies berkenaan.
Jabatan itu turut menjelaskan Ikan Kanai ialah spesies tempatan dan berbeza daripada Black Bass (Micropterus salmoides) yang diperkenalkan di kawasan lain.
Memandangkan spesies itu jarang ditemui dan sensitif terhadap perubahan persekitaran, DOF menggalakkan pemancing dan nelayan mengamalkan konsep tangkap dan lepas bagi membantu memelihara populasi spesies berkenaan di perairan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








