Imam muda maut motosikal bertembung kereta di Jalan Seremban–Kuala Pilah
KUALA PILAH – Seorang imam muda yang turut bekerja sebagai penghantar barangan maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 21, Jalan Seremban–Kuala Pilah, di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.06 petang itu, mangsa berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa dan sebuah kereta Honda Civic dipandu lelaki berusia 56 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan kereta terbabit.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan sehingga mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bagaimanapun, pemandu kereta Honda Civic tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Muhamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk proses bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








